Laman Sejarah

Lawati gedung buku terkemuka dunia...

 

Subjek wajib Pengajian Malaysia untuk IPTS, klik di sini

 

Untuk calon PMR, klik di sini

Artifak 5,000 Tahun Dijumpai Di Raub



Berita Harian, 23 Mac 1999 melaporkan berita dari Pekan, Pahang bahawa Jabatan Muzium dan Antikuiti menemui beberapa artifak terbaru berupa tembikar berwarna merah dan senjata dipercayai berusia lebih 5,000 tahun sebelum masihi di Gua Kecil Raub.

Kajian yang diketuai kurator arkeologi Zulkifli Jaafar sejak dua minggu lalu itu membuktikan wujudnya penempatan masyarakat primitif yang mendiami gua berkenaan. 

Menurut Zulkifli, lukisan dinding dipercayai berusia 100 hingga 200 tahun itu yang menggambarkan kegiatan perburuan masyarakat Orang Asli Negrito turut dijumpai di situ. 

Katanya, kemungkinan Gua Kecil pernah didiami kaum Negrito dan Senoi berdasarkan penemuan artifak yang menggambarkan kegiatan harian kedua-dua masyarakat itu.

"Penemuan ini masih pada peringkat awal dan kami belum dapat memastikan gua itu sebagai penempatan Negrito yang menjalankan kegiatan perburuan atau Senoi yang menjadikan pertanian sebagai kegiatan mereka. 

"Kami percaya lukisan dinding itu dilukis menggunakan arang bagi menggambarkan cara kaum Negrito memburu seekor tapir," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Kedua-dua kaum Orang Asli itu yang hidup sehingga hari ini mungkin mewarisi masyarakat Hoabinhian yang menetap di Semenanjung Malaysia, Selatan Thailand dan Vietnam lebih 5,000 tahun sebelum masihi. 

Berdasarkan artifak yang ditemui, Zulkifli berkata, kemungkinan berlaku perubahan dari segi budaya yang menunjukkan kemajuan masyarakat awal menjalankan kegiatan memburu kepada pertanian. 

Katanya, kajian yang dijalankan di gua itu membabitkan beberapa kakitangan jabatan dan pelajar Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

"Kami akan berada di gua itu sehingga hujung April bergantung kepada benda yang ditemui," katanya.

E-mail: 
malayworld@yahoo.com
Dunia Melayu 1998-2003 - https://ujid.tripod.com/history/990323artifakraub.html
Copyright (C) 1999-2000 Dunia Melayu. Hak cipta terpelihara.