SYIAR ISLAM
Kembalilah Kepada Konsep Cinta Yang Asal Dan Hakiki


ISLAM adalah agama cinta -- kasih kepada Ilahi dan kasih kepada umat manusia.

Namun gambaran 'cinta' ini sering diketepikan kerana imej yang dikaitkan dengan keganasan antarabangsa atau tradisi warisan yang seolah-olah menunjukkan umat Islam itu mundur lagi jahil.

Konsep cinta paling utama ialah pada sebutan Basmallah -- Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Kerana cinta Allah swt, maka dunia ini diwujudkan. Dalam diri setiap makhluknya terdapat rasa cinta -- dari manusia sampai kepada haiwan biasa. Satu hadis yang begitu indah mengungkapkan rasa cinta itu:

Demi Allah yang diriku dalam kuasa-Nya, kamu tidak akan masuk syurga, sebelum kamu beriman. Dan kamu tidak beriman sebelum kamu cinta-mencintai dan sayang-menyayangi satu sama lain. (Riwayat Muslim).

Cinta ibarat satu kuasa atau ikatan yang tidak terlibat. Ia bak medan magnet yang terdapat antara bumi dengan planet lain yang mengitari matahari. Jika ikatan itu luluh, maka bumi dan planet tadi akan bertembung.

Begitu juga dengan kasih sayang. Tanpa rasa yang mendalam ini, kita mungkin tidak berasa sedih melihat umat Kosovo menderita.

Kalangan ahli falsafah berpendapat, jika kasih sayang begitu menebal, menggantikan rasa dendam dan hasad, nescaya manusia tidak lagi memerlukan sistem keadilan dan undang-undang. Benarkah demikian?

Cinta satu-satunya mutiara yang dapat memberikan keamanan, ketenteraman dan perdamaian. Kita mencintai segala sesuatu dan segenap insan, bahkan mencintai kesulitan dan rintangan, sebagaimana kita mencintai nikmat dan kesenangan.

Mengapa demikian?

Rintangan dapat membangun semangat dan kekuatan untuk mengatasinya sehingga jiwa bangkit dan bergerak dengan hebatnya. Hal ini menjelaskan betapa banyak negara dunia yang berjaya itu sebenarnya tidak mempunyai sumber alam yang banyak seperti Switzerland atau Jepun.

Rintangan ini membuat mereka bangkit untuk membina harga diri.

Nikmat dan kesenangan pula bak angin yang dapat mendingin dan melembutkan panas gelanggang perjuangan. Kita mencintai alam seluruhnya, permulaan dan kesudahannya, kematian dan kehidupan yang ada di dalamnya. Yang sanggup menganut cinta yang begitu besar hanyalah sebahagian saja umat manusia, iaitu mereka yang jiwanya bersinar cahaya iman.

Orang beriman, disebabkan pengaruh akidahnya, mempunyai pandangan yang tajam terhadap rahsia kejadian alam. Oleh itu, dia mencintai Allah yang memberikan kehidupan, sumber yang menciptakan dan mengatur segala sesuatu.

Dia mencintai Allah selaku seorang manusia yang mencintai keindahan kerana telah dilihatnya ciptaan Tuhan itu penuh keindahan serba teratur, sesuai dengan firman-Nya: Engkau lihat dalam ciptaan Tuhan yang Pemurah itu serba teratur. (Surah al-Mulk:3)

Begitulah perbuatan Allah, yang membuat segala sesuatu dengan kukuhnya. (Surah An-Naml:88)

Tuhan yang menciptakan segala sesuatu dengan sebaik-baiknya. (Surah As-Sajadah:7)

Jelaslah, daripada ayat-ayat tadi Allah menunjukkan kepada kita bahawa kecintaan yang paling hakiki ialah antara makhluk dengan Penciptanya. Cinta itu berteraskan kesempurnaan -- teratur, kukuh dan sebaik-baiknya (indah).

Memandangkan kita beriman kepada Allah, maka sewajarnya kita melakukan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarangnya. Cinta kita mendapat ganjaran sebagaimana janji-Nya:

Dialah Tuhan yang menciptakan apa yang di bumi seluruhnya untuk kepentingan kamu. (Surah al-Baqarah:29).

Terpapar di sini konsep cinta bagai piramid. Paling atas ialah cinta kepada Allah. Inilah cinta hakiki. Cinta ini mengatasi cinta kepada ibu bapa, anak atau harta, malah diri sendiri.

9hb April 1999, Jumaat.