Peranan Kerjasama (ta'awun) Dalam Masyarakat

Oleh:
ARNY
(BAHEIS)

Pendahuluan

Apabila kita memperkatakan tentang peranan kerjasama maka sudah pasti kita dapat menggambarkan bahawa ia merupakan suatu yang amat penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Keadaan ini jelas dapat dilihat daripada perkembangan masyarakat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w sehinggalah ke han ini. Pengertian kerjasama secara umumnya ialah orang-orang yang bersatu dalam sesuatu pekerjaan yang terdiri daripada dua orang atau lebih untuk tujuan tertentu, untuk menghasilkan pengeluaran dan mengagihkannya. Mereka ini saling tolong-menolong antara satu sama lain untuk membentuk kesatuan yang kukuh. Tetapi hanya terhad kepada bidang ekonomi sahaja.

Bentuk kerjasama yang dikehendaki di sini ialah kerjasama yang dibentuk oleh agama Islam berdasarkan perhubungan sosial, ekonomi dan politik tanpa semua bidang pekerjaan tanpa mengira perbezaan warna kulit, bahasa dan aqidah seseorang. Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu daripada berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan amal kamu)". (al-Hujurat: 13)

 

Kerjasama Dalam Keluarga:

Untuk menentukan sesebuah keluarga itu dalam keadaan harmoni dan sejahtera maka kerjasama antara anggota keluarga merupakan salah satu faktor utama yang mesti dilaksanakan. Kerana ia akan mempengaruhi pembentukan peribadi setiap anggota keluarga tersebut dalam menjalani kehidupan mereka seharian.

Al-Aqra bin Habis suatu hari telah melihat Rasulullah s.a.w mencium cucunya Hassan r. a., lalu al-Aqra berkata kepada Nabi, bahawa dia ada mempunyai sepuluh orang cucu dan anak tetapi tidak pernah mencium mereka, lalu Nabi bersabda kepadanya: "Sesungguhnya orang yang tidak belas kasihan maka tiada ia dibelas kasihani oleh orang lain". (Imam al-Ghazali: Bimbingan Mu'min).

Seseorang anak tidak harus meninggalkan kedua orang tuanya untuk mengembara kecuali dengan keizinan terlebih dahulu. Manakala dalam hubungan suami isteri pula mereka haruslah menjaga hubungan itu dengan sebaik-baiknya, dan saling faham memahami antara satu sama lain, kerana mereka ini menjadi contoh kepada anak-anak di kemudian hari. Andaikata perpecahan dalam rumahtangga itu berlaku maka anak-anak akan menjadi mangsa dan tidak akan mendapat pendidikan yang sempurna. Firman Allah yang bermaksud:

"…dan bertaqwa kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu". (Surah Al-Nisa: ?)

 

Pergaulan Baik dengan Sahabat:

Pergaulan yang baik itu adalah buah yang baik dan kemurnian budi pekerti, manakala perpecahan pula adalah merupakan hasil yang tidak baik daripada budi pekerti yang buruk. Kemuliaan dapat dibina daripada kerjasama yang baik dalam memperjuangkan kebenaran yang diredhai oleh Allah. Firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki budi pekerti yang luhur". (al-Qalam: 4)

Dalam firman-Nya yang lain bermaksud:

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (Agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat-nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara dan ketika kamu berada di jurang api neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk". (Al-Imran: 103)

Oleh yang demikian jelaslah bahawa kerjasama yang sebenar hanya dapat dicapaI melaluI beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berpegang kuat kepada ajaran-Nya. Persahabatan yang berdasarkan kepada cinta kerana Allah akan mendapat rahMat daripada-Nya. Dalam menjalin kerjasama antara sahabat dan saudara, ada beberapa hak yang mesti ditunaikan:-

1.Hak dalam mengendalikan harta,

2.Hak dalam memberi bantuan kebendaan,

3.Hak dalam memelihara lidah dan hati,

4.Hak dalam memelihara ucapan,

5.Hak dalam memaafkan kesalahannya,

6.Hak dalam mendoakannya,

7.Hak dalam menepati janji dan ikhlas diri,

Maimun bin Mahran pernah berkata: "Barang siapa yang suka berkawan tapi tidak suka melebihi kawan maka lebih baik ia berkawan dengan ahli kubur." Firman Allah yang bermaksud:

"Dan dalam urusan mereka, mereka mesyuaratkannya sesama mereka dan mereka sentiasa membelanjakan apa yang Kami berikan rezeki ke atas mereka." (al-Syura: 38)

Syura yang dimaksudkan di sini ialah bermesyuarat dalam menjalankan sesuatu perkara. Setengah ahli tafsir mengatakan, ayat ini ditujukan kepada orang-orang Ansar sebelum Nabi berhijrah ke Madinah lagi.

Abu Sulaiman ad-Darran pula berkata: "Andaikata seluruh isi dunia ini kepunyaanku lalu aku berikan atau kuletakkannya ke dalam mulut salah seorang dan sahabat-sahabatku maka aku masih merasakan terlalu sedikit." Ini menunjukkan betapa besarnya hikmat persaudaraan dalam ertikata yang sebenar untuk dalam membentuk kerjasama yang erat di antara umat Islam.

Di antara ahli salaf, ada yang mengatakan bahawa tanggungjawab tentang keluarga dan anak-anak sahabatnya adalah merupakan kewajipan yang mesti ditunaikan oleh seorang muslim sama ada dengan menghulurkan bantuan yang berupa material ataupun spiritual apabila keluarga itu memerlukannya. Di antara perkara yang sering dilakukan oleh mereka ialah mengunjungi rumah-rumah sahabatnya dengan membawa bantuan yang diperlukan.

Ada tiga perkara yang mesti kamu tunaikan terhadap sahabat:

1. Jika mereka sakit hendaklah kamu segera menziarahinya.

2. Jika mereka sibuk dengan urusan berikanlah bantuan.

3. Jika mereka lupa hendaklah ingatkan mereka.

Seseorang muslim itu hendaklah menjaga lidah dan tutur katanya demi menjaga perhubungan sama ada dengan para sahabat mahupun dengan jiran tetangga. Jangan suka menceritakan keaiban orang lain.

Telah berkata Umar ibnu al-Khatab r.a., tiga perkara yang akan menimbulkan kasih sayang saudaramu terhadapmu ialah:

1. Memberi salam ketika bertemu dengannya.

2. Meluaskan tempat duduk baginya dalam suatu majlis.

3. Memanggil dengan nama yang disukainya.

Dalam menentukan kasih sayang ini kita perlu ingat bahawa ia bergantung kepada sifat diri kita sendiri, misalnya sifat ramah-tamah (ulfah). Sifat ramah-tamah ini dapat dicapai dengan mengadakan hubungan rapat antara satu sama lain, yang dapat menimbulkan rasa kenal mesra dan bergaul bebas antara satu sama lain. Ada pepatah Melayu mengatakan "tak kenal maka tak cinta". Perkenalan yang baik berdasarkan kepada keimanan sejati akan membuahkan kebebasan peribadi dan dapat menimbulkan kegembiraan serta ramah-tamah antara dua belah pihak.

Ada lima perkara untuk menjadikan pergaulan seseorang itu baik:

1. Agama

2. Keturunan

3. Hubungan perkahwinan

4. Kebajikan

5. Persaudaraan

 

Kerjasama Dengan Jiran Tetangga:

Setiap manusia yang bergaul dengan satu golongan mestilah ada caranya yang tertentu dan ada berbagai-bagai bentuk. Ini termasuklah daripada segi hubungan persahabatan, hubungan persaudaraan, hubungan rakan pergaulan dan yang lebih utama ialah hubungan dengan jiran tetangga. Hubungan ini tidak kira dalam bentuk apa sekalipun sama ada memberi bantuan, kerjasama dan sebagainya tetapi khusus kepada perkara-perkara kebaikan sahaja. Firman Allah yang berbunyi:

"Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara-perkara kebakikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu toong-menolong dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan." (al-Maidah: 2)

Dalam ayat al-Quran tadi jelas kepada kita bahawa kerjasama antara jiran itu amat penting untuk melahirkan suatu masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Antara jiran tetangga hendaklah saling hormat-menghormati. Islam telah menetapkan beberapa hak bagi umat Islam terhadap jirannya antara lain ialah:

1. Sentiasa memberi salam kepadanya apabila bertemu.

2. Jangan terlampau banyak bertanyakan hal ehwalnya.

3. Selalu menziarahinya terutama ketika sakit.

4. Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya.

5. Hendaklah menutup segala keaiban dan kecelakaan dan diketahui oleh orang ramai.

Kalau kita lihat pada zaman Rasulullah s.a.w., kerjasama antara jiran khususnya dan antara umat Islam amnya adalah sangat erat hinggakan mereka sanggup menyerahkan segala harta kekayaan mereka untuk jihad di jalan Allah dan membentuk sebuah masyarakat Islam yang benar-benar bersatu padu, misalnya Othman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf, mereka ini sanggup membelanjakan harta kekayaan yang banyak untuk berjihad di jalan Allah dan menolong saudara mereka yang memerlukan pertolongan.

 

Kesimpulan

Untuk membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan prinsip-prinsip Islam maka ia memerlukan kerjasama yang betul-betul padu dan kukuh antara ahli masyarakat tersebut. Tidak ada kerjasama yang lebih baik melainkan dengan iman yang kukuh untuk menuju kepada keredaan Allah semata-mata. Kerjasama ini melibatkan seluruh aspek kehidupan sama ada dari segi jasmani dan rohani. Dalam proses pembentukan ini pengorbanan memainkan peranan yang penting tanpa pengorbanan proses ini tidak dapat mencapai ke tahap yang diingini. Pengorbanan ini termasuklah dalam bentuk material dan spiritual.

 

Sumber: Sinaran Islam, Tahun 8, Bil. 2, Jun 1988, hal. 23-26.