Perisian e-mail @nyMail
Syarikat Tempatan Maju Setapak

 

Kini banyak e-mail berasaskan web (web based e-mail), misalnya xxx@mailcity.com, xxx@hotmail.com, xxx@yahoo.com, xxx@aol.com, xxx@usa.net dan lain-lain. Dan sesetengah kita jadi seperti orang gila - e-mail mania - kerana membuka banyak akaun e-mail dengan server yang berbeza-beza. Kemudian 2 atau 3 bulan, disebabkan lama tidak menggunakannya atau lupa merekodkannya, kita lupa pada akaun tersebut. Kemudian kita buka akaun yang baru.

Tetapi semua itu mungkin berubah dengan @nyMail 1.0, satu perisian e-mail yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, The Name Technology Sdn Bhd, demikian tulis seorang penulis, M. Madhavan dalam ruangan Home User, The Star 29 Februari 2000. Perisian @nyMail tidak hanya merekodkan akaun e-mail berasaskan web yang kita miliki tetapi juga membolehkan kita memeriksa e-mail baru tanpa melayari laman web server berkenaan.

Apa yang perlu kita lakukan ialah menyogokkan segala maklumat yang perlu mengenai akaun e-mail kita dalam @nyMail. Kemudian kita hanya perlu aktifkan perisian itu. Apabila perisian diaktifkan, iconnya akan dipamerkan di "system tray" dan ia akan memeriksa apa-apa e-mail baru. @nyMail akan membuat hubungan secara automatik (auto-connect) dan memutuskan hubungan secara automatik(auto-disconnect) selepas memeriksa apa-apa e-mail baru atau spam. Untuk mengetahui sama ada kita mempunyai apa-apa e-mail baru, kita hanya perlu membuka Inbox. @nyMail menyokong kira-kira 60 perkhidmatan e-mail berasaskan web.

Ketika diuji, @nyMail "bekerja" dengan baik dengan akaun Hotmail tetapi untuk akaun-akaun e-mail yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti Yahoo! dan Snap, kita perlu melakukan satu klik tambahan untuk pergi ke Inbox.

Tetapi ciri yang benar-benar mengkagumkan pada @nyMail ialah ia membolehkan kita menulis e-mail ketika tidak berada dalam talian (offline), dan kemudian mengirimkan e-mail itu menerusi akaun e-mail berasaskan web yang kita miliki tanpa melawat tapak itu. Misalnya jika kita ada akaun e-mail dengan Hotmail, kita boleh menulis mesej menggunakan @nyMail dan mengirimkan e-mail tersebut melalui akaun Hotmail tanpa perlu melawat tapak Hotmail.

Tetapi ada kekurangannya. @nyMail tidak boleh "download" mesej e-mail supaya kita boleh membacanya ketika tidak berada dalam talian (offline). Tetapi mungkin ini disengaja oleh pembangun perisian ini kerana jika dibekalkan dengan ciri tersebut, ini akan melanggar etika atau peraturan atau berlaku tidak adil kepada penyedia perkhidmatan e-mail berasaskan web tadi.

@nyMail juga tidak dapat memeriksa e-mail dengan server yang yang berubah "interface"nya. Misalnya, @nyMail gagal memeriksa e-mail dengan Snap. Snap mengubah "interface"nya begitu kerap. Tetapi pembangun perisian ini menyatakan bahawa mereka mempunyai "update" dan "patch" untuk menyelesaikan masalah itu. Buat masa ini "update" dan "patch" itu diposkan sebulan sekali. Tetapi pihak syarikat berjanji akan mula mengeposkan "update" selekas mungkin setelah satu minggu. Update ini adalah percuma. Kita tidak perlu melawat tapak syarikat itu untuk melakukan "update". Cuma kita perlu set perisian supaya @nyMail mengesan secara automatik "update" itu setiap kali kita berada dalam talian (online).

Kekurangan lain ialah sekarang ia mengambil masa yang lama untuk memeriksa e-mail baru sehinggakan kita merasakan bahawa adalah lebih pantas jika kita memeriksanya secara manual.

Perisian ini berharga RM38.00, satu nilai yang mampu dibeli dan tidak terlalu mahal bagi rakyat Malaysia. Kita boleh membayar menggunakan kad kredit, wang pos (postal order) atau cek. Kita akan diberi satu kod pendaftaran (registration code) yang akan menghilangkan iklan. Jika kita sayangkan RM38.00 itu, kita boleh gunakan "trial version" yang percuma. Tetapi kita akan kerap membaca iklan banner yang pop-up setiap kali kita mahu membaca e-mail baru. E-mail yang diposkan keluar juga akan di"tag" dengan satu iklan. Ini tentunya tidak menceriakan mesej yang kita hantar.

Pros: Inovatif, terutama penulisan e-mail secara offline.

Cons: Periksa e-mail begitu perlahan, update juga perlahan.

 

Anda boleh melawat:

The Name Technology Sdn Bhd
www.tntsb.com/anymail/
Telefon: 03-703-2170


4 Mac 2000.